Persiapan Sebelum Menunaikan Umrah/Haji

Persiapan Sebelum Menunaikan Umrah/Haji

Ibadah Umrah/Haji merupakan ibadah yang wajib dilaksanakan oleh setiap orang Islam yang mampu sekurang-sekurangnya sekali seumur hidup. Ibadah ini memerlukan pelaburan wang yang banyak dan bagi ibadah haji pula anda perlu ikut giliran kerana ada kuota. Justeru, apabila anda mendapat panggilan dan mampu untuk ke Tanah Suci gunakan peluang keemasan ini dengan sebaiknya. Pastikan anda membuat persiapan yang rapi sebelum berangkat ke sana. Berikut merupakan antara persiapan diri yang perlu anda lakukan sebelum pergi menunaikan haji/umrah.

1. Niat

Setiap amalan akan dinilai Allah berdasarkan niat (Hadis 40 karangan Imam Nawawi). Justeru, anda perlu sentiasa memperbaharui niat iaitu melaksanakan ibadah umrah/Haji adalah hanya kerana Allah SWT bukan disebabkan tujuan lain seperti sekadar mengikut orang lain atau apatah lagi melancong.

Sentiasa jaga hati masing-masing supaya dijauhkan daripada sifat riak atau menunjuk kerana merasakan diri lebih baik daripada orang lain serta mempunyai kewangan yang lebih. Jika terlintas perasaan riak segeralah beristighfar kepada Allah kerana kita tidak dapat lari daripada bisikan syaitan.

Ketika berada di Tanah Suci fokus kepada ibadah anda bukan sibuk mengambil gambar selfie untuk muat naik ke dalam sosial media. Cuba kurangkan perkara ini untuk mengelakkan daripada sangkan buruk orang lain. Tidak salah untuk bergambar tetapi letakkan had dan sentiasa memperbetul niat kita.

2. Ilmu Pengetahuan

Islam menekankan ilmu yang benar dan sahih dalam setiap amal ibadat khusus yang kita laksanakan seperti solat dan puasa berpandukan hadis sahih Rasulullah SAW. Begitu juga dengan ibadah Umrah/Haji, setiap jemaah perlu hadir ke kelas bimbingan Umrah/Haji yang disediakan oleh pihak agensi atau Tabung Haji sebagai persiapan diri. Korbankan masa lapang anda untuk hadir ke kelas bimbingan atau jika terlalu sibuk cuba sebaiknya untuk cari masa seperti ambil cuti. Persiapan ilmu sangat penting untuk para jemaah supaya ketika melaksanakan umrah/haji anda lebih yakin dan tahu serta faham setiap rukun yang akan dilakukan bukan hanya ikut orang lain.

Untuk pergi ke Tanah Suci bukan murah dan perlu masa untuk anda kumpul duit. Bagi sesetengah orang mungkin mampu pergi sekali sahaja seumur hidup. Justeru, pastikan ibadah umrah/haji yang anda laksanakan diyakini dilakukan dengan betul berdasarkan ilmu yang telah anda pelajari. Jangan sia-siakan peluang sekali seumur hidup ini.

Telah bersabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Dari Anas RA, ia berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang keluar untuk mencari atau menuntut ilmu, maka dia adalah orang yang berjihad fi sabilillah sehingga ia kembali”. (Riwayat oleh Tirmidzi)

3. Kewangan

Aspek kewangan merupakan aspek yang sangat penting sebagai persiapan ibadah umrah/haji kerana setiap jemaah memerlukan wang yang secukupnya untuk menampung kos penerbangan, makanan, penginapan dan sebagainya. Untuk ibadah haji, jemaah boleh pergi dengan Tabung Haji kerana lebih murah setelah mendapat subsidi daripada pihak kerajaan. Untuk ibadah umrah pula, jemaah boleh pergi dengan Tabung Haji atau agensi umrah yang berdaftar.

Pastikan anda mengkaji dan periksa sebaiknya agensi umrah yang anda daftar. Dunia sekarang dihujung jari. Anda boleh periksa melalui internet seperti facebook dan laman web atau tanya kepada rakan-rakan yang ada pengalaman menunaikan umrah dengan agensi berkenaan. Hal ini sangat penting untuk elakkan anda daripada ditipu kerana bukan sedikit wang yang akan dilaburkan. Pastikan servis yang disediakan juga yang terbaik seperti mutawif yang berpengalaman dan penerbangan secara terus, bukan sekadar pilih disebabkan murah sahaja.  

Ketika berada di Tanah Suci, anda juga perlu sediakan wang secukupnya sebagai persediaan untuk membayar dam atau mengupah orang untuk menolak jika tidak mampu berjalan ketika Tawaf dan Saie. Jika terdapat lebihan wang anda boleh gunakan untuk membeli belah atau bersedekah kepada fakir miskin.

4. Dokumen Penting

Sebagai persiapan umrah/haji, anda perlu sediakan beberapa dokumen penting untuk membenarkan anda menjejakkan kaki ke negara Arab Saudi. Setiap jemaah perlu mempersiapkan:

  • Passport
  • Gambar Visa latar belakang putih
  • Imunisasi Vaksin Meningococcal Quadrivalent (ACYW-135)
  • Dokumen Perhubungan yang disahkan jika pergi dengan mahram
  • Visa (diuruskan oleh agensi)
  • Insurans Takaful (diuruskan oleh agensi)

Pastikan semua dokumen di atas lengkap dan disahkan mana yang perlu. Rujuk pihak agensi untuk mendapatkan info dan keterangan lanjut. Jangan risau dan rujuk mereka sepenuhnya.

5. Berjumpa Doktor

Untuk yang sedia ada mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi atau sebagainya pastikan anda berjumpa doktor terlebih dahulu untuk mendapatkan nasihat berkaitan kesihatan. Pastikan anda bawa ubat-ubatan yang diperlukan dan boleh kongsikan masalah kesihatan anda kepada mutawif supaya beliau maklum. Terutamanya untuk pesakit buah pinggang yang memerlukan dialisis perlu berbincang dengan pihak agensi bagi menguruskan urusan dialisis ketika berada di Tanah Suci. Untuk anda yang sihat, sediakan ubat-ubatan yang biasa seperti Panadol, minyak angin dan lain-lain yang dirasakan perlu.

6. Kelengkapan Diri

Barang-barang keperluan harian juga perlu dipersiapkan sebaiknya seperti pakaian, alatan mandi dan sebagainya. Pastikan anda bawa barang yang perlu sahaja dan tidak berlebihan supaya bagasi anda tidak terlalu berat dan memakan ruang bagasi. Hal ini sebagai persiapan ketika mahu pulang ke tanah air, anda boleh muatkan bagasi sedia ada dengan barang-barang hasil membeli belah dan tidak perlu beli bagasi baharu. Barang keperluan yang perlu di bawa adalah seperti berikut.

Jemaah lelaki:

  • Kain Ihram – 3 helai
  • Tali pinggang
  • Baju biasa – 2 helai
  • Seluar Panjang – 2 helai
  • Baju Melayu atau jubah – 2 helai
  • Kain pelikat – 2 helai
  • Singlet berlengan – 3 helai
  • Stokin – 2 pasang
  • Selipar – 2 pasang

Jemaah Wanita:

  • Telekung Solat – 2 pasang
  • Baju kurung atau Jubah – 3 helai
  • Baju tidur – 2 helai
  • Stokin – 3 pasang
  • Sarung tangan – sepasang
  • Selipar – sepasang
  • Kasut – sepasang

Lain-lain:

  • Alatan mandi
  • Tuala
  • Sabun basuh baju
  • Penyangkut baju
  • Penutup muka (mask)
  • Sejadah
  • Gunting kecil untuk bertahlul
  • Tag Nama pada bag
  • Botol Spray Wuduk

Senarai di atas adalah sekadar panduan. Anda boleh bawa barang mengikut keperluan masing-masing. Tambahan, kebanyakan agensi umrah akan menyediakan set bagasi yang terdiri daripada bagasi pakaian, uncang kasut dan sling bag. Gunakan set bagasi yang disediakan sebaiknya seperti sling beg digunakan untuk menyimpan duit dan botol spray wuduk ketika berjalan-jalan di tanah suci. Jaga barangan anda sebaiknya dan sentiasa berwaspada dengan penyeluk saku.

7. Membersihkan Jiwa Mempersiap Spiritual
Untuk pergi menjadi tetamu Allah di Tanah Suci pastikan jiwa dan hati kita bersih daripada dosa-dosa besar mahupun kecil. Banyakkan solat sunat taubah dan sentiasa meminta keampunan kepada Allah SWT. Memohon maaf kepada orang dan ahli keluarga jika ada berbuat kesalahan. Rapatkan ukhuwah yang telah renggang dan berdamailah untuk menamatkan sengketa. Jika berhutang langsaikan dengan segera jika mampu.

Selain itu, banyakkan amalan-amalan sunat lain seperti solat sunat tahajud, membaca Al-quran, berzikir dan bersedekah supaya kita terbiasa dengan amalan-amalan ini dan memudahkan kita untuk melaksanakannya jika berada di Tanah suci. Sudah tentu ganjarannya berlipat kali ganda jika diamalkan di sana. Terutamanya amalan Solat Jenazah, pastikan anda tahu cara melaksanakannya kerana di sana selepas setiap solat fardhu akan dilaksanakan solat jenazah.

Dan orang yang paling bertakwa akan dijauhkan dari api neraka, yaitu orang yang menginfakkan hartanya serta menyucikan dirinya.” (Surah Al-Lail/92: 17-18).

8. Bersenam Mempersiap Fizikal

Lakukan amalan senaman mengikut kemampuan masing-masing. Persiapan fizikal amat penting kerana ibadah umrah/haji memerlukan kita untuk banyak berjalan. Jadi biasakan melakukan senaman seperti berjoging, berjalan kaki atau senaman ringan mengikut kemampuan anda.

9. Tambah Bahan Bacaan Berkenaan Sirah Rasulullah SAW

Sebagai persiapan kita sebelum berangkat ke Tanah Suci, pastikan kita tahu sedikit sebanyak berkaitan dengan sirah dan perjuangan Rasulullah SAW serta para sahabat. Usaha ini dapat membantu kita untuk lebih menghayati dan menghargai pengorbanan Nabi Muhammad dan para sahabat. Seterusnya, menambah keinsafan dalam diri kita ketika berada di sana dan terus istiqamah untuk berada dalam ketaatan apabila pulang ke tanah air. 

Padanya terdapat tanda-tanda yang nyata, (di antaranya) maqam Ibrahim; barangsiapa memasukinya (Baitullah itu) menjadi amanlah dia; mengerjakan haji adalah kewajiban manusia terhadap Allah, yaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah. Barangsiapa mengingkari (kewajiban haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam. (Surah Ali-Imran:97)

Kesimpulannya, perkongsian ini hanyalah sebagai panduan. Anda boleh amalkan jika mampu. Persiapan anda sebelum pergi memainkan peranan penting bagaimana keadaan anda di sana. Apa yang paling penting adalah niat kita menunaikan ibadah umrah/haji mestilah semata-mata kerana mencari redha Allah SWT. Kongsikan artikel ini semoga lagi ramai yang mendapat manfaat. 

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published.