Kisah Hijrah Nabi Muhammad dari Makkah ke Madinah

RASULULLAH SAW berusia 40 tahun apabila malaikat Jibril (as) melawat baginda ketika baginda sedang berkhalwat di Gua Hira. Jibril memberitahu Nabi Muhammad, baginda diangkat oleh Allah SWT sebagai rasul untuk seluruh umat manusia.

Pada tahun 622SM,  semasa berdakwah di Makkah, Rasulullah SAW diberitahu kaum kafir Makkah merancang membunuh baginda untuk memusnahkan Islam. Rasulullah menunggu perintah daripada Allah SWT untuk berhijrah. Malaikat Jibrail AS menemui baginda untuk memberitahunya Allah SWT mengarahkan baginda supaya meninggalkan Makkah pada waktu malam.

Berikutan itu, baginda menemui sahabat baiknya Abu Bakar as-Siddiq RA dan memintanya supaya menemani baginda dalam perjalanan itu. Rasulullah juga memberitahu rancangan baginda kepada Ali bin Abi Talib RA. Baginda memberitahunya: “Saya akan berhijrah tetapi anda perlu mengambil tempat saya di rumah.” Ali RA tanpa banyak soal menuruti permintaan Rasulullah SAW walaupun menyedari bahaya bakal dihadapinya.

Malam itu, sekumpulan Quraisy mengepung rumah Rasulullah SAW. Mengintai melalui lubang di pintu, mereka nampak seseorang sedang tidur di atas katil Rasulullah SAW. Mereka begitu yakin Rasulullah tidak dapat melepaskan diri dan mereka pasti dapat membunuh baginda. Apabila fajar menjelang, mereka terperanjat melihat Ali AS dan bukannya Rasulullah SAW bangun dari katil itu.

Mereka terpinga-pinga memikirkan bila Rasulullah (SAW) keluar dari rumah itu.

Rasulullah SAW dan Abu Bakar AS keluar dari Makkah pada malam itu juga. Tiada siapa mengetahui arah tujuan mereka dan tiada siapa tahu tempat persembunyian mereka kecuali Abdullah dan anak-anak Abu Bakar, Aishah dan Asma, serta pembantu mereka, Abdullah. Rasulullah SAW dan Abu Bakar bersembunyi dalam sebuah gua di Gunung Thur selama tiga hari.

Apabila kaum Quraisy menghampiri gua itu untuk mencari Rasulullah SAW tetapi mereka tidak memasukinya. Mereka yakin Rasulullah SAW dan Abu Bakar AS tidak berada di dalam kerana mulut gua itu dilitupi oleh sarang labah-labah dan sepasang burung merpati. Allah SWT membantu dua insan ini, melindungi mereka daripada bahaya. Kumpulan Quraisy kemudian meninggalkan gua itu dan bersetuju untuk pulang ke Makkah.

Yakin musuh sudah beredar, Rasulullah SAW dan Abu Bakar AS meneruskan perjalanan dengan menaiki unta dibawa oleh pembantu mereka, Abdullah. Ketiga-tiga mereka menggunakan laluan tidak diketahui ramai untuk ke Madinah bagi mengelakkan kumpulan pemburu Quraisy. Mereka meredah gunung, bukit dan gurun di bawah perit matahari tetapi mereka tidak pernah berputus asa. Mereka meletakkan segala kepercayaan kepada Allah SWT.

Sementara itu, kaum Quraisy di Makkah semakin marah dengan kehilangan Rasulullah SAW. Mereka menawarkan hadiah kepada sesiapa yang dapat menangkap Rasulullah SAW. Ramai yang mencuba nasib tetapi semuanya gagal.

Akhirnya dengan perlindungan Allah SWT, Rasulullah SAW dan sahabatnya tiba perkampungan kaum Bani Sabin yang menyambut mereka dengan gembira.

Ketika Rasulullah SAW dan sahabatnya dalam perjalanan, penduduk Islam yang sudah berpindah ke Madinah sebelum ini mendengar berita mengenai kedatangan pemimpin mereka itu. Malah penduduk Madinah yang baru memeluk Islam juga gembira dapat bertemu Rasulullah SAW. Jelaslah, sebelum tibanya Rasulullah di Madinah, Islam semakin kukuh di tempat baru itu, sesuatu yang tidak berlaku ketika berada di Makkah.

Rasulullah SAW mula membina sebuah negara Islam yang megah. Baginda memupukkan persaudaraan di kalangan umat Muslim dan menyeru mereka supaya menegakkan yang hak dan mengikut segala perintah Allah SWT.

Kesan daripada penghijrahan Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah adalah satu catatan penting sehingga umat Islam menjadikan peristiwa bersejarah ini sebagai permulaan kalendar Islam.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published.