JENIS-JENIS ZAKAT

Zakat dari segi bahasa bererti “BERSIH”, “SUCI”, “SUBUR”, “BERKAT” dan “BERKEMBANG”

Pengertian “BERSIH” dan “SUCI” dalam istilah zakat ialah membersihkan harta dan membersihkan diri orang kaya daripada bersifat kedekut dan bakhil. Dalam erti yang lain ialah membersihkan diri daripada sifat dengki dan dendam terhadap orang kaya.

Dari Segi Syarak:

Zakat dari segi syarak pula ialah mengeluarkan sebahagian harta tertentu diberikan kepada asnaf-asnaf yang berhak menerimanya setelah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak

Terdapat pelbagai jenis zakat antaranya:

  1. Zakat Fitrah

Zakat Fitrah ialah zakat diri yang difardhukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

Syarat Wajib Zakat Fitrah

Orang Islam yang wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk diri dan keluarga atau tanggungannya ialah:

  • Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.
  • Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari.
  • Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya.
  • Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan.

Kaedah Pembayaran Zakat Fitrah

Kaedah pembayaran zakat fitrah yang ditentukan ialah makanan asasi daripada jenis yang mengenyangkan. Perkara ini dijelaskan melalui hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudry bermaksud:

“…Adalah kami para sahabat ketika bersama Rasulullah s.a.w sering mengeluarkan zakat fitrah daripada setiap orang yang kecil dan besar, merdeka atau hamba satu gantang makanan atau satu gantang keju atau satu gantang Syair atau satu gantang tamar atau satu gantang zabib. Demikianlah kami terus berbuat demikian sehingga datang kepada kami oleh Muawiyah Abi Sufian bagi mengerjakan amal ibadat haji atau umrah, kemudian beliau menyampaikan ucapannya di atas mimbar, maka dalam ucapannya kepada orang ramai beliau berkata: Saya berpendapat, bahawa satu mud (cupak) gandum Sham menyamai satu Sha’ (gantang) tamar. Setelah itu, masyarakat pun berbuat demikian sedangkan Abu Sufian berkata: aku tetap mengeluarkannya sebagaimana mulanya”(Hadis riwayat Muslim)

Waktu Menunaikan Zakat Fitrah

Waktu menunaikan zakat fitrah terbahagi kepada 5:

1.Waktu Wajib

Apabila terbenam matahari akhir Ramadhan sehingga terbit matahari satu Syawal.

2.Waktu Afdal

Sebelum sembahyang Hari Raya

3.Waktu Sunat

Sepanjang bulan Ramadhan

4.Waktu Makruh

Selepas sembahyang hari raya sehingga terbenam matahari satu Syawal.

5.Waktu Haram

Selepas terbenam matahari satu Syawal.

  1. Zakat Harta

Zakat harta pula terbahagi kepada beberapa jenis lagi iaitu:

  1. Zakat Pendapatan

“Wahai orang-orang yang beriman, keluarkan zakat sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu.”(Surah Al-Baqarah: Ayat 267)

Allah menjelaskan bahawa segala ‘hasil usaha yang baik’ itu wajib dizakat. Oleh itu, bagi sesiapa yang menjadikan makan gaji itu sebagai satu profesion, maka itu juga termasuk dalam ‘hasil usaha’ yang wajib dizakat.

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Menjadi sesuatu kewajipan ke atas setiap Muslim bersedekah (zakat)”. Mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana yang tidak mempunyai harta?”. Baginda menjawab, “Bekerja untuk mendapat sesuatu untuk dirinya lalu bersedekah.” Mereka bertanya, ” Kalau tidak mempunyai pekerjaan?”. Baginda bersabda, “Tolonglah mereka yang meminta pertolongan”. Mereka bertanya lagi, “Bagaimana pula jika tidak berkuasa?”. Baginda menjawab, “Kerja ke jalan kebaikan dan tinggalkan kejahatan, hal itu merupakan sedekah” (Hadis riwayat Muslim)

Jenis-Jenis Harta Pendapatan

Ulama’ mutaakhirin membahagikan Mal al-Mustafad kepada kategori berikut:

  1. Zakat Harta Penggajian dan Upah Kerja
  2. Zakat Harta Pemberian Atau Sumbangan
  3. Zakat Harta Kerja Bebas
  4. Zakat Harta al-Mustaghallat

 

2. Zakat perniagaan

Zakat perniagaan ialah zakat yang wajib dikeluarkan hasil daripada harta perniagaan sama ada berasaskan pembuatan, perlombongan, perikanan, perkapalan, pembekalan, pertanian, perkhidmatan atau sebagainya dengan tujuan diperniagakan.

“Wahai orang-orang yang beriman, keluarkan zakat sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu.”(Surah Al-Baqarah: Ayat 267)

3.Zakat pelaburan

“Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (zakat) sebahagian hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu” (Surah Al-Baqarah: Ayat 267)

Syarat Wajib Zakat Pelaburan

Syaratnya adalah seperti berikut:

  • Islam

diwajibkan kepada pemilik Muslim sahaja.

  • Milik Sempurna

mempunyai kuasa menjual dan memperoleh manfaat daripada portfolio saham atau pelaburan

  • Milik Pihak Tertentu

saham atau pelaburan yang dimiliki masjid, surau, dan-dana untuk maslahah am dan seumpamanya, tidak wajib zakat

  • Cukup Nisab

Nisab portfolio pelaburan ialah nilaian yang sama dengan atau 85 gram emas (20 mithqal). Apabila nilai portfolio pelaburan bersamaan atau melebihi nisab maka ianya diwajibkan zakat.

  • Cukup Haul

Haul bagi saham dan pelaburan lain hendaklah genap tempoh satu tahun pemilikan portfolio pelaburan.

  • Halal

Saham yang diterbitkan untuk operasi perniagaan teras yang halal.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *