ERTI KEMERDEKAAN DALAM PERSPEKTIF ISLAM

ERTI KEMERDEKAAN DALAM PERSPEKTIF ISLAM

Menurut perspektif Islam, terkandung erti tersirat dan tersurat di sebalik sebuah kemerdekaan. Huraiannya adalah seperti berikut:

  1. Kebebasan manusia dalam menikmati kehidupan.

Ia sesuai dengan fitrah dan selaras dengan matlamat sebenar penciptaan manusia iaitu hanya untuk beribadah kepada ALLAH SWT.

Perkara itu telah dijelaskan oleh ALLAH SWT dalam firman-NYA yang bermaksud: “Dan (ingatlah) AKU tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-KU.” (Surah al-Dzariyat, ayat 56)

  1. Kebebasan daripada belenggu penjajahan pemikiran dan ideologi.

Dua elemen berkenaan merupakan ancaman yang jauh lebih besar daripada penjajahan secara fizikal.

Kedatangan Islam itu sendiri adalah bertujuan untuk membawa mesej dan bersifat kemerdekaan. Agama suci ini juga sejak sekian lama menyeru manusia supaya membebaskan diri daripada pemikiran dan ideologi yang salah.

Islam sendiri bermaksud kesejahteraan, kedamaian dan keamanan. Kesemuanya menjurus kepada maksud kemerdekaan. Islam juga adalah satu sistem, cara hidup yang benar dan bersifat komprehensif untuk memandu kehidupan manusia di dunia dan mencapai kejayaan di akhirat.

Ketika dunia dilanda pelbagai fitnah, ujian dan cabaran pada akhir zaman, keteguhan iman dan kebijaksanaan akal sangat diperlukan bagi membuat pilihan yang tepat.

Kaedah dan cara berfikir masyarakat memerlukan asas kefahaman Islam yang mantap supaya misi dan matlamat kehidupan di dunia dan akhirat lebih jelas.

Jika aspek itu dapat dipenuhi, sebarang ideologi yang bertentangan tidak dapat mempengaruhi, apalagi mengganggu gugat pendirian masyarakat Islam.

  1. Kebebasan daripada pengaruh sikap dan akhlak buruk yang merosakkan imej masyarakat dan Islam.

Islam juga menyifatkan merdeka sebagai bebas daripada keruntuhan akhlak dan kemurkaan ALLAH.

Secara tidak langsung, agama yang mulia ini telah berjaya menyelamatkan tamadun manusia daripada sistem perhambaan, sama ada antara sesama manusia ataupun hawa nafsu yang diselubungi oleh kesyirikan, kekufuran, kemungkaran dan kemaksiatan.

Pada era milenial ini, masyarakat dilihat pada zahirnya tidak banyak bercakap, tetapi cenderung berkomunikasi secara maya melalui media sosial dengan laras bahasa dan ekspresi kata-kata yang membimbangkan.

Pesan Nabi Muhammad SAW: “Kamu hendaklah menjauhi prasangka buruk kerana sesungguhnya prasangka buruk itu percakapan yang paling dusta, janganlah kamu berdiam (kerana ingin mendengar dan mencari keburukan orang), jangan kamu mengintip (kerana mencari kesalahan), jangan kamu saling mendengki, jangan kamu saling membelakangi (kerana bermusuh), dan jangan kamu saling membenci. Hendaklah kamu menjadi hamba-hamba ALLAH yang bersaudara.” (Riwayat al-Bukhari)

Sumber: Sinar Harian

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published.