CARA MENDAPAT HIDAYAH DARIPADA ALLAH

Cara Mendapat Hidayah Daripada Allah

Hidayah ialah cahaya petunjuk Allah S.W.T daripada kufur kepada beriman. Allah S.W.T sahaja yang berkuasa memberi hidayah dan petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya kerana semua perkara dan kejadian adalah milik-Nya. Sesiapa yang inginkan hidayah dan petunjuk ke jalan yang benar dan lurus perlulah BERUSAHA untuk mendapatkannya. Jika mahu maka usahalah sebaik mungkin, IN SYA ALLAH akan dikurniakan cahaya petunjuk oleh Allah S.W.T. Kerana begitulah JALAN CERITA atau ketetapan yang Allah tetapkan di LUH MAHFUZ yang kebanyakan orang yang berusaha pasti akan diberikan apa yang dia kehendaki.

Cara untuk mendapat hidayah daripada Allah antaranya:

– Sentiasa berdoa agar diberi petunjuk dalam kehidupan, berdoalah dalam keadaan merendah diri dan bersyukur (berterima kasih) pada Allah.

– Bersihkan hati melalui ibadat wajib dan sunat, solat lima waktu dan solat sunat yang lain.

– Berakhlak mulia sesama makhluk iaitu manusia, binatang dan tumbuhan. CONTOH: Tidak menyakiti manusia, binatang dan tumbuhan, jika ingin membunuh binatang dan memotong tumbuhan hendaklah mempunyai tujuan yang jelas.

– Laksana perintah Allah dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

– Menghadiri ceramah ilmu untuk mengutip ilmu yang membawa kepada kemajuan diri dan keinsafan diri.

– Sentiasa berusaha bersangka baik atas perbuatan seseorang.

– Menggunakan akal fikiran untuk mengetahui rahsia dan keEsaan Allah. CONTOH, lihatlah pada alam dan diri kita sendiri, semua itu mempunyai hikmah tersendiri yang mampu mengajar kita mengenal Allah.

Tanda-Tanda Orang Yang Mendapat Hidayah.

  1. Jiwa sentiasa cenderung pada ilmu yang membawa kepada kebahagiaan dunia akhirat.
  2. Sentiasa menjauhi tipu daya dunia.
  3. Sentiasa bersangka baik dengan semua perkara.
  4. Suka memaafkan orang.
  5. Sentiasa mengemaskini persediaan menghadapi kematian.
  6. Sentiasa merenung dan mengingati Allah dalam apa jua keadaan.

Kesan Hidayah Kepada Manusia.

– Sentiasa istiqomah beriman kepada Allah S.W.T tanpa sebarang perasaan ragu-ragu.

– Meningkatkan amalan fardu ain dan fardu kifayah.

– Hati sentiasa terdorong untuk melakukan kebaikan dan benci serta menjauhi perbuatan mungkar.

– Berasa gembira, tenang serta bersyukur (berterima kasih) dalam menjalankan perintah Allah S.W.T.

– Tetap beriman kepada Allah S.W.T walaupun disiksa atau diberi kesenangan supaya meninggalkan Islam.

– Terdorong untuk menyampaikan dakwah atau nasihat kepada seluruh manusia.

Hidayah Milik Allah.

Firman Allah S.W.T Bermaksud: Barang siapa dikehendaki Allah akan mendapat hidayah (petunjuk), Dia akan membukakan dadanya untuk (menerima) Islam. Dan barang siapa dikehendaki-Nya menjadi sesat, Dia jadikan dadanya sempit dan sesak, seakan-akan dia (sedang) mendaki ke langit. Demikianlah Allah menimpakn siksa kepada orang-orang yang tidak beriman. (QS. Al-An’am 6: 125)

Hidayah adalah satu nikmat kurniaan Allah yang amat berharga, hidayah tidak boleh dibeli dengan harta. Gunakanlah cara-cara yang ditulis di atas tadi untuk membantu dalam mendapatkan hidayah daripada Allah S.W.T supaya dapat memberi kesan yang baik dalam kehidupan kita dunia dan akhirat. Semoga bermanfaat.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published.